Bekas Perdana Menteri itu berkata, pertemuan tersebut dibuat baru-baru ini setelah beliau membangkitkan tentang halangan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO daripada menemuinya.
''Najib sudah jumpa saya ... dia (Abdullah) tidak halang. Hari itu saja Abdullah halang untuk kami berjumpa.
''Selepas saya tegur kata Abdullah tak bagi, dia pula kata tidak menghalang, lepas itu, baru saya jumpa dengan Najib,'' kata beliau.
Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi bergambar Kismet karya Rafique Sher Mohamed di Kelab Perdana Diraja di sini hari ini.
Pada awal bulan ini, Dr. Mahathir melahirkan rasa kesal kerana hasratnya untuk bertemu Najib bagi membincangkan isu-isu semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak berjaya kerana Timbalan Perdana Menteri itu perlu mendapat keizinan Abdullah terlebih dahulu.
Menurut Dr. Mahathir, ini menyebabkan Najib tidak berjumpa dengannya kerana gagal mendapat keizinan tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak bercakap mengenai halangan itu sebelum ini kerana ia satu perkara peribadi.
Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk mendedahkannya kerana mendakwa semakin banyak percubaan untuk menutup mulut mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti.
Berikutan itu pada 8 Mei lalu, Abdullah menafikan dakwaan bahawa beliau menghalang Najib daripada berjumpa bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Perdana Menteri, beliau tidak membuat tindakan sebegitu seperti yang didakwa.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang ditawarkan habuan besar jika melompat parti pembangkang , Dr. Mahathir berkata, perkara itu tidak lain hanya berkisar mengenai duit.
Jika begitu, jelasnya, mana-mana pihak boleh melompat parti jika mahu hidup senang-lenang.
''Semua mereka yang lompat parti ini bukan berjuang untuk bangsa dan negara. Semua mereka itu, tidak berani cakap pasal duit sebelum ini sebab mahu dapat tempat dan jawatan di parti itu sahaja,'' ujarnya.
Menjawab soalan mengenai Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tetap tidak berganjak dengan pendirian dalam mempertikaikan kuasa dan peranan Sultan Perak, Dr. Mahathir menyifatkan perkara itu berlaku kerana wujudnya sistem pemerintahan yang lemah.
Beliau berkata, apabila pemerintahan lemah, semua orang sudah tidak mempunyai rasa hormat kepada orang lain.
Dipetik dari artikel Utusan Melayu - 16 Mei 2008